1. Dalam kekalutan pemilihan jawatan tertinggi UMNO sekarang, kumpulan pembangkang PR melihatnya sebagai satu peluang untuk menangguk di air yang keruh.
2. Kekecewaan kumpulan yang menyokong pemimpin UMNO yang kalah dalam pemilihan akan menyebabkan moral dan semangat juang menjadi lemah dan tidak bermaya. Ini akan berterusan dalam persediaan pilihan raya di dua bukit dan satu batang. Ini adalah suatu realiti walaupun cuba diselindungi tetapi itulah keadaannya.
3. Melihat kepada keadaan di Bukit Gantang, pemerhatian yang dibuat menunjukkan BN kini ketinggalan di belakang PR. Ini adalah atas dasar yang mana pengundi Cina khasnya golongan muda dijangka tidak akan memberi undi kepada calon BN walaupun calon BN telah dikenali mereka.
4. Isu perlantikan KJ sebagai Ketua Pemuda juga akan memberi impak kepada sokongan masyarakat Cina terhadap BN dan UMNO. KJ dilihat sebagai satu entiti yang kurang disenangi oleh mereka.
5. Dalam masyarakat India pula, masalah kehidupan harian adalah isu utama yang perlu dititik berat dalam berkempen. Mereka hanya memerlukan seseorang yang memahami masalah mereka di estet dan bagaimana kerajaan BN dapat membantu mereka memberi pelajaran dan sedikit kesenangan hidup berbanding sebelum ini.
6. Masyarakat India di sini dilihat telah menolak kepimpinan MIC kerana mereka rasakan MIC hanya mementingkan diri sendiri bukannya pengundi yang mengundi mereka. Terdapat ramai golongan peniaga yang berjaya dan diterima masyarakat setempat sebagai individu yang dihormati kerana sumbangan mereka dalam komuniti India. Mereka ini boleh dijadikan perantaraan untuk memenangi semula hati pengundi India.
7. Samada pengundi India akan menerima calon BN atau PR adalah bergantung bagaimana pihak dalam BN mendekati mereka. Keyakinan tinggi untuk mendapat sokongan dari mereka kepada BN adalah tetap ada. Hanya pendekatan yang baik diperlukan.
8. Masyarakat Melayu pada asalnya terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu penyokong UMNO, PAS dan atas pagar. Kini ianya menjadi empat dengan kemasukan PKR dalam kancah politik tempatan. Perpecahan dalam masyarakat Melayu menyebabkan calon BN/UMNO memerlukan sokongan dari masyarakat bukan Melayu untuk memenangi kerusi P059.
9. Sebagaimana jangkaan sebelum ini bahawa pengundi Cina tidak akan menyokong BN dan sebahagian besar India juga ke arah pembangkang, dimanakah peluang calon BN di Bukit Gantang?
10. Perlu diingat, sokongan pengundi Cina terhadap Nizar adalah atas faktor kepentingan perjuangan parti DAP yang berasaskan perjuangan kaum Cina. Di Perak, masyarakat Cina di bandar adalah majoriti berbanding Melayu yang menetap di kawasan taman perumahan dan kampung tradisional.
11. Parti politik DAP menggunakan pendekatan kempen perkauman yang menekankan sekiranya BN mengambil alih kuasa maka kebajikan kaum Cina tidak akan dapat diperjuangkan sebagaimana DAP lakukan semasa memerintah Perak sebelum ini. Individu seperti Nizar ditonjolkan sebagai hero yang membantu kaum Cina dan dengan adanya keturunan darah Cina dalam badan Nizar menguatkan lagi sokongan terhadap beliau.
12. Adakah BN dapat mengharapkan sokongan pengundi atas pagar? Adalah sukar untuk memastikan pendirian pengundi atas pagar kerana perkembanagan semasa dalam UMNO sendiri menyebabkan ramai pengundi atas pagar kurang yakin dengan kepimpinan UMNO untuk memperjuangkan hak orang Melayu. Begitu juga sokongan jentera pilihan raya UMNO mungkin akan menerima kesan akibat pergelutan dalam pemilihan jawatan dalam UMNO sekarang ini.
13. Adalah sukar untuk menjangkakan samada kemenangan akan berpihak kepada BN. Namun begitu, ini adalah satu cabaran kepada pihak kepimpinan baru UMNO untuk turun padang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.
14. Nasihat yang mahu diberikan, masuk kampung orang patuhilah adat resam setempat. Bagi para Menteri UMNO janganlah memasuki kampung dengan kenderaan mewah, pakaian megah kerana ini akan menrugikan UMNO sendiri. Lawatilah masjid dan berjemaahlah bersama mereka. Wanita dan Puteri UMNO, jauhilah pendekatan lama dengan memakai secara tidak sopan dan kurang mesra dengan pengundi. Dekatilah mereka dengan berhemah dan ikhlas. Insyallah ini akan dapat membantu kemenangan calon BN.
15. Masih ramai yang sayangkan UMNO tapi mereka ralat dan kecewa dengan kebanyakan pemimpin UMNO yang seolah-olah tidak mengambil tahu permasalahan orang kampung yang selama ini menyokong UMNO tanpa berbelah bagi.
16. Mereka juga sedar dan mengetahui bahawa PAS dan PKR adalah parti yang tidak ada arah tujuannya. Tapi kemarahan dan perasaan tidak puas hati atas kedangkalan dan sikap tidak mahu berubah dalam UMNO sendiri menyebabkan pengundi ini jauh hati dengan UMNO. Berubahlah UMNO demi masa depan.
No comments:
Post a Comment