Wednesday, March 25, 2009

CARA MENGHAPUSKAN POLITIK WANG DALAM UMNO



1. Masalah amalan politik wang yang dikatakan berlaku dan berlubuk dalam UMNO adalah suatu fenomena biasa dalam mana-mana organisasi atau politik yang ada dalam dunia ini. Hanya kepandaian pemimpin-pemimpin terbabit menyembunyikan keadaan ini kepada pengetahuan umum menyebabkan rakyat tidak mengetahuinya.

2. Berlainan dalam UMNO yang mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran dan membuka segala permasalahan dalam parti kepada pengetahuan umum menyebabkan ramai yang menyangkakan UMNO adalah parti rasuah.

3. Kalau dikaji secara umum, tuduhan mengatakan amalan politik wang telah bermula di peringkat bawahan lagi iaitu di pemilihan cawangan UMNO. Perkara ini berlarutan dalam pemilihan jawatan di bahagian. Keadaan yang sama berlaku semasa pemilihan dalam G7 bagi memilih 7 orang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO.

4. Para perwakilan bersama 5 ahli tetap dari setiap bahagian akan diamanahkan untuk memilih pemimpin di peringkat pusat. Dari segi komposisi, jumlah perwakilan yang mewakili bahagian terbabit tidak melambangkan nisbah yang menyeluruh. Di sini peluang untuk membeli undi para perwakilan adalah mudah dan terbuka luas bagi pihak yang berkepentingan.

5. Sehubungan itu, seruan Dato’ Seri Najib, Presiden UMNO supaya diubah sistem pemilihan perwakilan untuk memilih pemimpin tertinggi UMNO di masa depan adalah dialu-alukan oleh semua pihak.

Cadangan Pemilihan Pemimpin UMNO Secara Pilihan Raya
-----------------------------------------------------------------------


6. UMNO adalah sebuah parti yang besar mewakili masyarakat Melayu dan mempunyai ahli melebihi 3 juta orang di seluruh Malaysia. Sekiranya pemimpin UMNO berani melakukan anjakan dalam pembaharuan, satu pendekatan yang boleh dilihat dan dipertimbangkan adalah mengadakan pemilihan ala pilihan raya dimana semua ahli di cawangan akan memilih pemimpin mereka untuk peringkat cawangan, bahagian dan pusat dalam bentuk kertas undi. Setiap undi adalah rahsia iaitu mengikut keadah pilihan raya umum.

7. Cara ini akan dapat menghindarkan mana-mana pihak yang berhasarat untuk membeli undi dan memberi peluang kepada semua ahli UMNO menyuarakan siapakah pemimpin yang mereka yakini kepimpinan mereka. Ini juga mengelak perwakilan yang diamanahkan memilih calon tertentu menukar amanah itu kepada calon yang lain atas faktor dibeli dengan wang.

8. Setiap peti undi dari semua cawangan akan dikira di pusat pengiraan undi di bahagian masing-masing dan dikumpulkan di peringkat negeri. Semua keputusan akan disalurkan di ibupejabat UMNO di Kuala Lumpur untuk diumumkan pemenangnya. Selesai sudah permasalahan politik wang dalam UMNO.

9. Dengan cara ini, semua pemimpin yang berhasrat untuk menjawat jawatan dalam UMNO mestilah berusaha dan bekerja secara ikhlas dan rajin supaya disukai oleh ahli UMNO di tempatnya dan seluruh negeri. Tetapi adakah pemimpin UMNO bersedia untuk melakukan perubahan ini?

No comments: